Usahawan Digalakkan Untuk Memohon Sijil Halal

Share

Pada 24 Februari 2022, Penang Halal International selaku agensi di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Kursus Asas Pensijilan Halal Malaysia siri pertama bagi tahun 2022 dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Kursus ini juga adalah salah satu daripada siri-siri kursus yang dilaksanakan di bawah agensi ini bertujuan untuk menggalakkan para usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memohon sijil halal Malaysia.

Kursus ini telah dihadiri lebih 120 peserta dari seluruh Pulau Pinang dan telah dilaksanakan di Pearl View Hotel, Perai. YB Dato Hj Abdul Halim Hussain selaku Exco Perdagangan, Industri, & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Halal International telah merasmikan program ini dan berharap para usahawan dapat meneroka ruang dan peluang untuk mengembangkan perniagaaan dalam industri Halal.

“PHI kini sedang menyusun beberapa kursus yang akan membantu para usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka dan akan membimbing kumpulan terlibat untuk memohon sijil halal melalui bengkel-bengkel seminar” katanya semasa perasmian tadi.