05 Februari 2026 – Sekitar lensa program Go Green & Halal Penang Carnival anjuran Penang Halal International dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Batu Maung yang diadakan pada 5 hingga 8 Februari 2026 bertempat di Taman Jajar, Sungai Ara. Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Dato Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap ADUN Batu Maung & Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang.

Acara ini menampilkan dua tema sekaligus, iaitu Go Green dan Halal, di mana pengisian aktiviti yang dijalankan tertumpu kepada reruai dan gerai makanan serta minuman yang merupakan pemegang sijil pengesahan Halal Malaysia manakala aktiviti yang berteraskan elemen hijau seperti Brisk Walk MADANI dan Zumba Komuniti.

Acara ini juga melambangkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat di mana melibatkan penyertaan masyarakat Melayu, Cina dan India dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti pertandingan mewarna, jualan RAHMAH dan lain-lain.

Pada masa yang sama, turut diadakan penyerahan sumbangan komputer riba dan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina kepada penerima terpilih sekitar DUN Batu Maung.

Pembangunan usahawan melalui program di bawah PHI dan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP merupakan salah satu penggerak bagi menjayakan Teras Pembangunan Sosioekonomi Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).