Penang E-Mall

Share

Pulau Pinang, 20 Mei 2020 – Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah EXCO Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan telah mengambil langkah bekerjasama dengan Shopee bagi menyokong komuniti Usahawan Pulau Pinang dan pelanggan mereka melalui Penang E-Mall. Penang Halal International (dikenali juga sebagai PIHH Development Sdn. Bhd.) telah dilantik untuk menguruskan program ini bagi menyokong usahawan mikro dan SME yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.
Sebagai permulaan kerjasama dan pelancaran Penang E-mall di Shopee, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperuntukan sejumlah RM 500,000.00 dalam bentuk diskaun baucer. Penang E-Mall akan menampilkan pelbagai produk seperti makanan, fesyen, peralatan perkakas rumah dan banyak lagi. Selain itu, Penang E- Mall juga mempunyai ruang khas bagi mempromosikan aktiviti perniagaan Halal & Toyyiban dengan tujuan menyokong perusahaan kecil dan sederhana menjana mendapatan pada musim perayaan ini dan seterusnya.

Shopee akan memadankan jumlah peruntukan dari Kerajaan Negeri melalui aset pemasaran mereka. Shopee juga akan menawarkan perkhidmatan penghantaran percuma dan baucer promosi yang akan menarik minat pengguna untuk membantu peniaga yang meyertai kempen Penang E-Mall. Peniaga Pulau Pinang yang sedia ada dan peniaga baru yang mengambil bahagian di dalam kempen ini akan menerima khidmat latihan e-dagang percuma melalui Universiti Shopee secara serentak. Modul Latihan termasuklah kelas asas bagaimana untuk memulakan perniagaan dan jualan secara atas talian dan juga kelas lanjutan seperti bagaimana untuk mengembangkan perniagaan atas talian dengan meggunakan pengetahuan pemasaran secara digital, kemahiran fotografi dan banyak lagi.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus menyokong komuniti perniagaan kita dengan mengambil langkah inisiatif untuk memulihkan ekonomi dengan pelancaran Penang E-Mall @ shopee dan juga memperuntukan setengah juta ringgit bagi program ini. Kami berharap peluang ini bukan sahaja untuk mewujudkan lagi banyak perniagaan atas talian tapi juga meningkatkan perniagaan dan mendorong Perusahaan kecil dan Sederhana mikro untuk memulakan perniagaan e-dagang tanpa menghadapi pelbagai masalah” kata YAB Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang.