LAWATAN PENSIJILAN HALAL KOTEJ PULAU PINANG
Pada 16 April 2026- Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah melaksanakan lawatan pensijilan halal kotej ke Dodol Dapuq Kayu bertempat di Kampung Labuk Banting, Seberang Perai Utara
Lawatan ini bertujuan memberikan bimbingan kepada pihak syarikat berkaitan penyediaan dokumen pensijilan halal, susun atur pelan premis serta tatacara permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pada masa yang sama, lawatan ini turut melibatkan pelajar-pelajar latihan industri di bawah seliaan PHI untuk memberi pendedahan bagaimana proses pensijilan halal Malaysia berjalan mengikut prosedur yang telah digariskan.
Program Pensijilan Halal Kotej ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Strategi Pengembangan Sosioekonomi melalui Ekosistem Industri Halal yang digariskan dalam Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030).
Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan agar industri kotej yang berpotensi dapat diangkat sebagai pemegang sijil halal, seterusnya memperkukuh daya saing serta mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.




