BIMBINGAN PENSIJILAN HALAL

Pada 28 Mei 2026, Penang Halal International (PHI) selaku agensi kerajaan negeri yang berperanan mempromosikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengadakan sesi bimbingan pensijilan halal bersama syarikat Mariena Spice Ventures yang menjalankan perniagaan bakeri dan beroperasi di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Sesi bimbingan ini diadakan bagi membantu pihak syarikat memahami keperluan dan prosedur pensijilan halal secara lebih menyeluruh, selaras dengan standard serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa pensijilan halal Malaysia.
Dalam sesi tersebut, kakitangan PHI turut memberikan penerangan dan khidmat nasihat berkaitan semakan dokumen halal, tatacara penyediaan fail serta keperluan dokumentasi semasa proses pengauditan halal dijalankan. Selain itu, pihak syarikat juga dibimbing mengenai aspek pematuhan yang perlu diberi perhatian bagi memastikan proses permohonan dan pensijilan halal dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Inisiatif seperti ini merupakan sebahagian daripada komitmen PHI dalam membantu usahawan serta industri makanan tempatan meningkatkan tahap pematuhan halal, sekali gus memperkukuhkan daya saing produk di pasaran domestik dan antarabangsa.