TAKLIMAT PENSIJILAN HALAL KOTEJ BERSAMA USAHAWAN AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

Pada 11 Ogos 2026, Penang Halal International (PHI) dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Pulau Pinang telah melaksanakan Taklimat Pensijilan Halal Kotej bersama usahawan-usahawan bimbingan AIM bertempat di Pejabat AIM Tasek Gelugor, Kepala Batas.

Program ini melibatkan penyertaan seramai 20 orang usahawan wanita yang mengusahakan pelbagai produk dan perkhidmatan dari rumah serta premis perniagaan masing-masing. Taklimat ini memberi pendedahan kepada para usahawan mengenai kepentingan pensijilan halal serta langkah-langkah yang perlu dilaksanakan bagi memastikan operasi dan produk mereka memenuhi keperluan pensijilan Halal Malaysia.

Turut hadir ialah En. Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, yang menyampaikan kata-kata semangat dan dorongan kepada para usahawan agar terus berusaha memperkukuh serta meningkatkan kualiti perniagaan, di samping menjadikan pensijilan halal sebagai salah satu langkah penting dalam membina keyakinan pengguna, meningkatkan daya saing dan memperluaskan potensi pasaran.

Dalam sesi yang sama, kakitangan PHI turut memberikan bimbingan secara praktikal kepada para usahawan dengan membantu proses pendaftaran akaun syarikat dalam sistem MyEHalal JAKIM serta FoSIM, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sebahagian daripada persediaan ke arah pematuhan keperluan berkaitan pensijilan dan keselamatan makanan.

Inisiatif sebegini mencerminkan komitmen PHI dalam mendekati usahawan di peringkat akar umbi, khususnya usahawan mikro dan wanita, dengan menyediakan bimbingan serta sokongan secara langsung agar mereka lebih bersedia untuk melangkah ke tahap perniagaan yang lebih tersusun, diyakini dan berdaya saing.