PERBINCANGAN PESTA PULAU PINANG 2026

Pada 19 Oktober 2026, Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah menghadiri mesyuarat dan sesi perbincangan bersama PERDA Ventures Incorporated Sdn Bhd berkaitan cadangan mewujudkan Pavilion Halal di Pesta Pulau Pinang.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan YBrs En n Norkhaizan bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif PVISB dan turut dihadiri En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI dan wakil dari pihak Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang dan PERDA.

Perbincangan ini merupakan langkah awal ke arah meneroka potensi kerjasama strategik dalam menyediakan platform khusus bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan halal keluaran usahawan tempatan, khususnya usahawan bimbingan PHI dan usahawan Bumiputera.

Cadangan Pavilion Halal ini juga berpotensi menjadi ruang promosi dan pemasaran yang dapat meningkatkan keterlihatan produk halal, memperluas akses pasaran serta membuka peluang kepada usahawan untuk berinteraksi secara langsung dengan pengguna. Pada masa yang sama, inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan produk halal dan memperkukuh kedudukan industri halal sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.