KUNJUNGAN HORMAT KE AMANAH IKHTIAR MALAYSIA (AIM)

Pada 30 April 2026, Penang Halal International (PHI) telah mengadakan kunjungan hormat ke Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bersama Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB Pulau Pinang), sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal negeri susulan daripada mesyuarat atas talian yang telah dilaksanakan pada 23 April 2026.

Delegasi PHI diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Mohd Azraie bin Ramli, bersama Prof. Madya Dr. Wan Nazjmi bin Mohamed Fisol, Rektor KITAB Pulau Pinang. Pihak AIM pula diwakili oleh Puan Lailatun Khalilah binti Nasir, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat & Keusahawanan, serta barisan pegawai.

Perbincangan yang berlangsung memberi fokus kepada potensi kolaborasi dalam memperkasa sektor keusahawanan halal, di samping memperluas peranan institusi pendidikan dalam menyokong pembangunan bakat dan kapasiti industri. Pendekatan kerjasama yang bersifat inklusif turut diberi penekanan bagi memastikan manfaat dapat dirasai oleh pelbagai lapisan usahawan khususnya melalui kerjasama dalam Program Pensijilan Hala Kotej Pulau Pinang yang menyasarkan penyertaan usahawan dalam kalangan ibu-ibu tunggal.

Dalam sesi yang sama, PHI turut menyampaikan jemputan rasmi kepada AIM untuk menyertai Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026) yang akan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun 2026 di Politeknik Seberang Perai, dan dijangka dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 20 Jun 2026.

Kunjungan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan antara agensi, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekosistem halal dan keusahawanan yang lebih progresif serta berdaya saing.