PENYERAHAN SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA KEPADA PEMEGANG PROGRAM PENSIJILAN HALAL KOTEJ BAGI DAERAH BARAT DAYA

Pada 22 Ogos 2026, Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi SPHM telah melaksanakan majlis simbolik penyerahan SPHM kepada dua penerima di daerah Barat Daya bersempena Program Bicara Mufti di Masjid Daerah Barat Daya. Majlis ini juga diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen dan usaha para usahawan dalam memenuhi keperluan pensijilan halal

Penyerahan sijil ini telah disempurnakan oleh YBhg Dato’ Hj Rosidi bin Hussain, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan turut hadir sama adalah En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI. Penyerahan sijil SPHM ini telah diterima sepenuhnya oleh Syarikat Stylo Heaven Resources dan Syarikat DKV Global Empire.

Skim Pensijilan Halal Kotej Pulau Pinang merupakan satu inisiatif khas Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi membantu peniaga kecil dan pengusaha industri mikro berstatus Bumiputera, khususnya yang menjalankan perniagaan dari rumah (home-based), untuk mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Bermula Januari 2026, Penang Halal International (PHI) telah dilantik sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab untuk mengurus, menyelaras serta membimbing usahawan mikro sehingga berjaya mendapatkan pensijilan halal Malaysia bagi tempoh dua(2) tahun.

Di bawah skim ini, hanya empat kategori pensijilan yang diberikan keutamaan iaitu:

a) Produk Makanan dan Minuman

b) Premis Makanan

c) Rumah Sembelihan (Unggas/Arnab)

d) Bahan Gunaan