BIMBINGAN PENSIJILAN HALAL KOTEJ PULAU PINANG

Usaha memperkasa usahawan tempatan dalam mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia terus diperkukuhkan menerusi sesi lawatan dan bimbingan ke premis Easy Cook Great Taste Enterprise di Rosmawar Central Kitchen, Georgetown pada 3 September 2026.

Dalam sesi tersebut, Penang Halal International (PHI) memberikan khidmat nasihat dan panduan secara langsung kepada pengusaha bagi memastikan keperluan Pensijilan Halal Malaysia dapat dipenuhi dengan baik. Bimbingan meliputi pengurusan bahan mentah, kawalan proses pengeluaran, penyediaan dokumentasi serta pengurusan dan kebersihan premis.

Inisiatif ini turut menyokong Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (API 2030) melalui Teras Sosioekonomi yang menekankan pemerkasaan ekonomi umat Islam, pengembangan keusahawanan dan pengukuhan ekosistem halal negeri.

Melalui pematuhan halal yang lebih sistematik, para usahawan bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk yang dihasilkan, malah mampu memperkukuh imej perniagaan serta membuka peluang untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan berdaya saing.