LAWATAN KE SYARIKAT PAK ALI FOOD INDUSTRIES SDN BHD
Pada 8 September 2026, Penang Halal International telah menerima kehadiran daripada Syarikat Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), sebuah syarikat anak milikan penuh di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan Program Pembangunan Ekonomi untuk golongan asnaf fakir dan miskin di negeri Selangor bersempena kunjungan lawatan kerja ke Pulau Pinang.
Turut hadir mengiringi lawatan ini adalah En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI bersama para pegawai manakala TERAS pula dihadiri En Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai TERAS.
Antara objektif lawatan kerja ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti produk-produk berpotensi di sekitar Pulau Pinang yang mempunyai nilai pasaran serta boleh membantu meningkatkan rantaian ekonomi tempatan.
Lawatan seterusnya diteruskan dengan kunjungan ke Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd., pengeluar jeruk buah-buahan terkemuka di Malaysia yang terkenal menerusi jenama Jeruk Madu Pak Ali. Syarikat ini menghasilkan pelbagai produk jeruk menggunakan buah-buahan segar berkualiti, melalui gabungan resipi tradisional dan teknologi pemprosesan moden. Produk Jeruk Madu Pak Ali turut mendapat pensijilan halal daripada JAKIM serta pengiktirafan MeSTI daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hadir sama dalam pertemuan ini ialah YBhg Dato Haji Alias bin Ali, Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn Bhd.




