BIMBINGAN PENSIJILAN HALAL KOTEJ
Pada 24 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah meneruskan inisiatif Lawatan Bimbingan Pensijilan Halal Kotej ke Golden Bakehouse, bagi memberikan bimbingan secara langsung kepada usahawan dalam persediaan mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia.
Sesi lawatan ini memberi penekanan kepada pemahaman usahawan terhadap keperluan halal dalam operasi pengeluaran, merangkumi aspek bahan mentah, proses penyediaan, kebersihan premis, penyimpanan, kawalan halal dan dokumentasi.
Inisiatif bimbingan sebegini turut mendapat perhatian dan sokongan YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang sentiasa menekankan kepentingan memperkasakan usahawan tempatan agar lebih bersedia untuk memenuhi tuntutan dan keperluan industri halal.
Peranan beliau dalam membawa agenda pembangunan halal ke peringkat akar umbi mencerminkan bahawa usaha memperkukuh ekosistem halal bukan hanya tertumpu kepada industri berskala besar, malah turut merangkumi usahawan mikro yang menjadi sebahagian penting daripada rantaian ekonomi halal negeri Pulau Pinang.




