KUNJUNGAN HORMAT KE BANK KERJASAMA RAKYAT MALAYSIA BERHAD (BANK RAKYAT)

Pada 30 April 2026, Penang Halal International (PHI), selaku agensi kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bertanggungjawab mempromosikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), telah mengadakan kunjungan hormat ke Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) bersama Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB Pulau Pinang), sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Sesi kunjungan ini berlangsung di Ibu Pejabat Bank Rakyat, Bangsar, dan telah dihadiri oleh En. Mohd Azraie bin Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif PHI) serta Prof. Madya Dr. Wan Nazjmi bin Mohamed Fisol (Rektor KITAB Pulau Pinang). Pihak Bank Rakyat pula diwakili oleh Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak (Ketua Pegawai Syariah) bersama pegawai-pegawai bank.

Kunjungan ini merupakan susulan kepada perbincangan awal yang telah diadakan antara YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, bersama Ustaz Mohd Zamerey Abdul Razak pada Disember 2025 di Pulau Pinang.

Sepanjang sesi berlangsung, perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama strategik antara agensi-agensi Islam di Pulau Pinang, khususnya dalam memperkukuh pembangunan industri halal serta memperkasa sektor pendidikan tinggi. Selain itu, ruang kolaborasi yang berimpak tinggi turut diterokai bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi Islam secara holistik.

Dalam masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif PHI telah menyampaikan jemputan rasmi kepada Bank Rakyat untuk menyertai Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026) yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun 2026 di Politeknik Seberang Perai. Program ini dijangka dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 20 Jun 2026.

Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan serta memacu pertumbuhan ekosistem halal yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat negeri dan nasional.