Penang Halal International, agensi di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang telah dijemput untuk memberi taklimat di dalam Majlis Taklimat Skim PEKA 3.0 anjuran Pejabat MMK Pulau Pinang (Perdagangan, Industri, & Pembangunan Usahawan).

Mewakili PHI adalah En Mohamad Khairil bin Ahmad, pegawai bertugas dan turut memberi penerangan berkenaan perkhidmatan yang ditawarkan oleh agensi ini. Antara agensi yang turut hadir untuk memberikan taklimat adalah Penang Development Corporation, Bank Negara Malaysia Pulau Pinang, dan SME Corp Pulau Pinang.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato Hj Abdul Halim Hussain selaku Exco Perdagangan, Industri, & Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi Penang Halal International dan dihadiri seramai 300 orang peserta dari seluruh Pulau Pinang.

Pada 14 Disember 2021, Penang Halal International telah menganjurkan Jamuan Akhir Tahun 2021 dan Majlis Penghargaan kepada Pn Aida Lim Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif yang bakal menamatkan perkhidmatan beliau yang berakhir pada 31 Disember 2021. Majlis ini juga diadakan bertujuan untuk meraikan agensi dan syarikat yang telah banyak membantu PHI dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif sepanjang tahun 2021.

Dalam ucapan YB Dato Abdul Halim Hussain selaku Exco Perdagangan, Industri, & Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi PHI, beliau menyatakan bahawa Pn Aida telah banyak membantu dalam usaha mentransformasikan agenda pembangunan agensi kepada negeri Pulau Pinang dan  Malaysia khususnya dalam bidang syariah dan halal, memacu ekosistem perniagaan halal ke hadapan, dan menjenamakan semula PHI ke arah imej yang lebih berdaya saing setaraf di peringkat antarabangsa.

Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah, serta warga kerja Penang Halal International mengucapkan selamat maju jaya buat Puan Aida atas khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di negeri Pulau Pinang dan mendoakan agar beliau akan terus maju dan berjaya pada masa hadapan.

Pada 10 Disember 2021 (Jumaat), Penang Halal International telah dijemput oleh Halal International Selangor iaitu agensi yang bernaung di bawah Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal kerajaan Negeri Selangor untuk berkongsi tentang perkembangan terkini PHI dan industri halal di Pulau Pinang.

Majlis ini diadakan bersempena dengan Retreat Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor yang diadakan di The Light Hotel, Seberang Jaya.

YB Dato Abdul Halim Hussain selaku Exco Perdagangan, Industri, dan Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi Penang Halal International turut hadir untuk memberi pandangan dan input berkaitan agenda pembangunan industri halal di Pulau Pinang. Hadir mengiringi YB Pengerusi adalah En Mohamad Khairil Ahmad, Eksekutif Pembangunan Usahawan.

Pada 23 November 2021, Penang Halal International dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah menganjurkan Kursus Asas Pensijilan Halal Malaysia siri ke-2 bertempat di Auditorium C Tingkat 5 KOMTAR. Kursus ini diadakan selaras dengan pengumuman geran pensijilan halal berjumlah RM320 kepada usahawan mikro baharu dan sedia ada seperti yang diumumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 3.1. Kursus ini juga mensasarkan penyertaan usahawan baharu dan sedia ada dari Perusahaan Mikro, Kecil, & Sederhana (PKS) sekitar Pulau Pinang.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Abdul Halim Hussain, Exco Perdagangan, Industri & Pembangunan Usahawan Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Halal International. Dalam ucapan beliau, YB Dato menasihatkan para usahawan untuk meneroka sektor industri halal dengan lebih aktif kerana ia mempunyai potensi yang besar.

Kursus ini juga telah dikendalikan oleh Puan Nurhanisah Othman, Pegawai Teknologi Makanan di Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang. Pelbagai persoalan berkaitan prosedur pensijilan halal telah diterangkan semasa kursus ini berjalan dan kursus berakhir pada jam 4.30 petang.