6 November 2025 -Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia bersama-sama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang telah menyertai MIHAS@Shanghai yang berlangsung pada 5 hingga 10 November 2025 bertempat di National Exhibition & Convention Centre, Shanghai.

Penyertaan syarikat tempatan Pulau Pinang sebanyak 6 syarikat iaitu Pak Ali Food Industries Sdn Bhd, Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd, Nashmir Capsule Sdn Bhd, ANH Smart Venture Sdn Bhd, Al Haddad Marketing Sdn Bhd dan RZ Chem Trading adalah bagi mempromosikan Penang Halal Pavilion yang menampilkan produk tempatan Pulau Pinang.

Acara ini turut dihadiri YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang selaku ketua delegasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kunjungan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Pavilion Pulau Pinang, turut berlangsungnya Pertukaran Perjanjian Persefahaman antara dua syarikat tempatan Pulau Pinang bersama syarikat China iaitu Nashmir Capsule Sdn Bhd dengan Jiangsu Zhuyou Glasses Co. bernilai RM21 Juta dan Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd dengan King Sight (GZ) Co. Ltd.

27 Oktober 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah menyertai program Jelajah Halal 2025 Pulau Pinang Maybank Islamic dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Selaku rakan kerjasama, PHI turut membuka ruang pameran bersama BPH JHEAIPP bagi menerangkan inisiatif kerajaan negeri dalam mempromosi sijil halal bagi meningkatkan jumlah pemegang sijil halal.

Program ini telah dirasmikan oleh YBrs En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI mewakili YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid selaku Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Turut hadir sama, Ustaz Mohd Hanif bin Omar (Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JHEAIPP), En Mohammad Yusof bin Abdul Rahim (Pengarah Wilayah Maybank Penang, Kedah, Perlis) dan Tn Hj Adnan Sharif (Ketua Ekonomi Halal, Maybank Islamic).

23 Oktober 2025 – para pegawai Penang Halal International serta Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP berpeluang menimba pengalaman mendalami ilmu dan pengetahuan melalui lawatan ke JAKIM Malaysia Halal Analysis Centre (MYHAC) yang bertempat di Bandar Enstek, Nilai.

Sepanjang sesi yang dikendalikan oleh pegawai Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, para pegawai telah didedahkan berkenaan khidmat analisis halal berkaitan bahan ramuan yang dilaksanakan oleh JAKIM dan memastikan pemegang sentiasa mematuhi Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia.

Terima kasih tak terhingga kepada Tuan Haji Mohd Amri ,Ketua MyHAC dan seluruh kakitangan MyHAC diatas layanan yang baik terhadap delegasi dari Pulau Pinang.

22 Oktober 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi sijil pengesahan halal Malaysia bersama-sama Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP, ahli panel pensijilan halal Malaysia negeri Pulau Pinang dari Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, KPDNKSH Pulau Pinang, Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai telah melaksanakan lawatan rumah sembelihan halal ke syarikat Rabbit Fun Land bertempat di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Syarikat ini juga menjalankan penternakan arnab pedaging dan penyembelihan sebelum memasarkan ke pasaran.

22 Oktober 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia bersama-sama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang telah menghadiri sesi taklimat industri kotej bertempat di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Seremban, Negeri Sembilan.

Lawatan ini juga turut disertai En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Ustazah Norliza binti Mohamad Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Halal selaku ahli panel Pensijilan Halal Negeri Pulau Pinang bersama panel-panel lain melibatkan Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, KPDNHEP Pulau Pinang, Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai.

Semasa sesi ini berlangsung, delegasi telah diberikan taklimat berkaitan pensijilan halal industri kotej di Negeri Sembilan oleh Ustazah Zalina binti Long, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JHEAINS serta sesi perbincangan bagi memantapkan pensijilan halal industri kotej yang akan dilaksanakan di Pulau Pinang pada masa yang terdekat.

Sesi berakhir dengan penyampaian cenderamata antara kedua-dua agensi dan sesi bergambar sebagai tanda kenang-kenangan.

21 Oktober 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah selesai menyertai Melaka International Halal Festival 2025 bersama-sama 18 syarikat tempatan Pulau Pinang. Reruai PHI juga turut menerima kunjungan pimpinan kerajaan Persekutuan dan Negeri antaranya YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato Wira Azhar bin Arshad dan Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Dr Hj Syaharuddin Shah bin Mohd Noor.

PHI diwakili En Mohd Azraie bin Ramli selaku Ketua Pegawai Eksekutif juga telah menerima plak cenderamata daripada YAB Datuk Seri Utama Abd Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka semasa majlis perasmian MIHF.

Terima kasih kepada rakan strategik yang turut sama menjayakan penyertaan delegasi Pulau Pinang iaitu Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Pejabat EXCO Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Pulau Pinang dan lain-lain agensi yang banyak menyokong sepanjang penyertaan delegasi Pulau Pinang ke acara ini.

16 Oktober 2025 – Penang Halal International bersama 18 syarikat tempatan Pulau Pinang telah menyertai hari pertama penganjuran Melaka International Halal Festival 2025 bertempat di Melaka International Trade Centre, Ayer Keroh.

Pakat mai ramai-ramai dan dapatkan produk keluaran Pulau Pinang dibawakan khas kepada para pengunjung MIHF25!

14 Oktober 2025-Pelepasan 18 Usahawan Bumiputera PMKS Pulau Pinang yang akan menyertai Melaka International Halal Festival 2025 (MIHF’25) pada 16-19 Oktober 2025 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid.

Kesemua usahawan ini ditaja dengan kos RM150, 000 yang diusahakan secara strategik oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), PERDA dan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri.

Kesemua peserta ini yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) JAKIM yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Hasrat YB Dato’ bahawa, agar kesemua usahawan dapat membuat jualan sebanyak RM250, 000.

Sepanjang tahun ini dan tahun lalu juga, kita telah melaksanakan program bimbingan untuk para usahawan bumiputera ini dengan mengadakan siri jelajah dan Karnival Keusahawanan di peringkat negeri serta kebangsaan yang bertaraf antarabangsa.

Lonjakan pembangunan keusahawanan ini kita harapkan dapat membantu meningkatkan nilai ekosistem keusahawanan untuk ummah di negeri Pulau Pinang selain meningkatkan jumlah pemegang SPHM.

Tekad YAB Perdana Menteri yang komited membangunkan komuniti usahawan PMKS di seluruh negara kita sambut dengan pelbagai inisiatif seperti ini agar hasrat Kerajaan MADANI dan Teras Pembangunan Sosioekonomi, Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2030 (APAI2030) dapat dicapai.

9 Oktober 2025-Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah mengiringi lawatan delegasi Guangdong ke 2 syarikat pemegang Sijil Halal di sekitar Pulau Pinang.

Bagi lawatan pertama ke syarikat Hong Yang Hoo T.Y.T Malaysia, delegasi telah diberi penerangan tentang perjalanan awal syarikat sehingga berjaya menempatkan diri dalam kalangan syarikat yang menghasilkan produk ubatan herba yang telah dipersijilkan halal.

Seterusnya, delegasi meneruskan lawatan ke kilang Mykuali Manufacturing Sdn Bhd yanb terletak di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang, Bukit Minyak. Pada masa yang sama, delegasi juga telah diberi penerangan tentang produk keluaran syarikat yang telah menembusi pasaran antarabangsa seperti mee segera, mee mamak dan lain-lain.

7 Oktober 2025, -Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bersama-sama Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP telah meneruskan kunjungan ke pejabat Bahagian Pengurusan Halal (BPH), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) bagi sesi taklimat dan penerangan mengenai fungsi serta peranan jabatan masing-masing.

Para delegasi telah disantuni oleh Tuan Haji Taufik, Ketua Penolong Pengarah BPH JAIJ. Turut hadir dan dijemput untuk memberikan taklimat ialah wakil daripada agensi di bawah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), iaitu PIJ Halal Ventures (PHV) dan JT Lab.

Sebagai penutup lawatan, para delegasi telah dijemput menghadiri majlis makan malam bersama BPH JAIJ dan rakan strategiknya, PHV, yang bertindak sebagai hos bagi meraikan para tetamu.