Penang Halal International berkesempatan mengadakan lawatan selama dua hari ke Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Lawatan ini menjadi satu platform penting untuk melihat dengan lebih dekat perkembangan terkini ekosistem halal di peringkat global, selain meneroka potensi kerjasama serta peluang pasaran yang boleh dimanfaatkan oleh pemain industri halal Pulau Pinang.

MIHAS 2026 yang mengangkat tema “Shaping Trust, Driving Resilience” menghimpunkan pemain industri daripada pelbagai sektor halal, merangkumi makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik dan penjagaan diri, fesyen sopan, kewangan Islam, teknologi, logistik, pelancongan mesra Muslim serta pelbagai perkhidmatan lain.

Lawatan ini turut memberi peluang kepada Penang Halal International untuk mendapatkan insight, idea dan perspektif baharu bagi memperkukuhkan lagi ekosistem halal Pulau Pinang serta meningkatkan daya saing negeri sebagai destinasi halal yang berpotensi di peringkat antarabangsa.

Daripada jaringan, lahir peluang.

Daripada peluang, terbina kerjasama.

Daripada kerjasama, kita perkasa ekonomi halal

Pada 25 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah mengadakan lawatan bimbingan Pensijilan Halal Kotej ke Impian Asmiza Venture, yang beroperasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Impian Asmiza Venture merupakan usahawan kotej yang menjalankan perniagaan dalam bidang katering serta penghasilan pelbagai produk makanan, dengan operasi yang berkembang daripada skala kecil dan berpotensi untuk diperluaskan ke pasaran yang lebih besar.

Melalui lawatan ini, pasukan PHI memberikan bimbingan berkaitan persediaan ke arah Pensijilan Halal Malaysia, termasuk pengurusan bahan mentah, proses penyediaan makanan, kebersihan dan sanitasi, penyimpanan, kawalan halal serta dokumentasi yang diperlukan.

Pada 24 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah mengadakan lawatan bimbingan pensijilan halal ke Hundred Grams Cafe yang beroperasi di Georgetown sebagai sebahagian daripada usaha membantu pengusaha premis makanan memahami dan memenuhi keperluan Pensijilan Halal Malaysia.

Lawatan ini menjadi platform untuk PHI berkongsi panduan secara terus berkaitan aspek-aspek penting dalam operasi premis, khususnya melibatkan pengurusan bahan mentah, penyediaan makanan, kebersihan dan sanitasi, penyimpanan serta dokumentasi halal.

Pada masa yang sama, sesi ini turut memberi ruang kepada pihak kafe untuk mendapatkan penjelasan terhadap perkara-perkara yang perlu disediakan dan diperbaiki bagi memastikan pengurusan premis lebih teratur serta menepati keperluan halal.

Pada 24 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah meneruskan inisiatif Lawatan Bimbingan Pensijilan Halal Kotej ke Golden Bakehouse, bagi memberikan bimbingan secara langsung kepada usahawan dalam persediaan mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia.

Sesi lawatan ini memberi penekanan kepada pemahaman usahawan terhadap keperluan halal dalam operasi pengeluaran, merangkumi aspek bahan mentah, proses penyediaan, kebersihan premis, penyimpanan, kawalan halal dan dokumentasi.

Inisiatif bimbingan sebegini turut mendapat perhatian dan sokongan YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang sentiasa menekankan kepentingan memperkasakan usahawan tempatan agar lebih bersedia untuk memenuhi tuntutan dan keperluan industri halal.

Peranan beliau dalam membawa agenda pembangunan halal ke peringkat akar umbi mencerminkan bahawa usaha memperkukuh ekosistem halal bukan hanya tertumpu kepada industri berskala besar, malah turut merangkumi usahawan mikro yang menjadi sebahagian penting daripada rantaian ekonomi halal negeri Pulau Pinang.

Pada 23 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah melaksanakan lawatan bimbingan pensijilan halal ke Dong Bei Mala Tang bagi membantu pihak premis memahami dengan lebih jelas keperluan dan persediaan ke arah mendapatkan Pensijilan Halal Malaysia.

Lawatan ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan dan operasi premis makanan, termasuk sumber bahan mentah, pengendalian makanan, kebersihan, penyimpanan, kawalan bahan serta dokumentasi yang berkaitan dengan pematuhan halal.

Melalui sesi bimbingan secara langsung di premis, pihak usahawan berpeluang mendapatkan penerangan dan pandangan daripada pasukan PHI berkaitan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian dalam memastikan operasi premis selaras dengan keperluan pensijilan halal.

Pada 18 September 2026, Penang Halal International telah melaksanakan lawatan bimbingan pensijilan halal kotej ke syarikat Idah Kuih Frozen yang menghasilkan produk kuih sejuk beku karipap dan beroperasi di Pantai Bersih, Butterworth.

Lawatan ini bertujuan memberikan bimbingan dan khidmat konsultansi secara terus kepada usahawan dalam memahami keperluan serta tatacara permohonan Pensijilan Halal Malaysia bagi kategori pensijilan halal kotej.

Dalam sesi lawatan ini, Penang Halal International turut memberikan penerangan berkaitan keperluan bahan mentah, proses pengeluaran, kebersihan premis, dokumentasi serta kawalan halal yang perlu diberi perhatian bagi memastikan produk dan operasi memenuhi keperluan pensijilan halal.

Inisiatif bimbingan seperti ini merupakan antara usaha berterusan Penang Halal International dalam membantu usahawan mikro dalam meningkatkan pematuhan halal, memperkukuh keyakinan pengguna serta membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan pasaran produk mereka.

Penang Halal International (PHI), selaku agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang berperanan mempromosikan dan memperkukuh pembangunan industri halal negeri, telah dijemput menyampaikan taklimat berkaitan Pensijilan Halal Kotej kepada usahawan bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang dalam Kursus Ke Arah Pensijilan Home-Based Food yang berlangsung di The Light Hotel, Seberang Jaya.

Program yang menghimpunkan seramai 100 orang usahawan yang mengusahakan perniagaan berasaskan kediaman ini merupakan antara usaha persediaan bagi memenuhi prasyarat permohonan Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah (Home-Based Food).

Turut hadir menyampaikan taklimat berkaitan Pensijilan Halal Kotej ialah Ketua Pegawai Eksekutif PHI, En. Mohd Azraie bin Ramli, yang menekankan kepentingan pensijilan halal sebagai satu nilai tambah strategik kepada pengusaha industri kotej, khususnya dalam meningkatkan keyakinan pengguna, memperluas akses pasaran serta menambah bilangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia, terutama dalam kalangan usahawan Bumiputera.

Inisiatif Pensijilan Halal Kotej ini merupakan antara manifestasi Teras Pembangunan Ekonomi di bawah Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang 2030 (APAI2030) yang digagaskan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

Agenda yang dibawa oleh YB Dato’ Dr. Mohamad ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi berteraskan nilai Islam bukan sekadar tertumpu kepada pemain industri berskala besar, malah turut membuka ruang kepada usahawan kecil dan mikro, termasuk pengusaha yang menjalankan perniagaan dari rumah, untuk berkembang dalam ekosistem halal yang lebih tersusun.

Melalui pendekatan ini, Pensijilan Halal Kotej dilihat mampu menjadi platform pemerkasaan sosioekonomi masyarakat, dengan membantu usahawan kecil meningkatkan tahap pematuhan, membina kredibiliti perniagaan dan seterusnya bersedia untuk menembusi pasaran yang lebih luas.

Seiring aspirasi APAI2030 yang dipelopori YB Dato’ Dr. Mohamad, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PHI akan terus memperkukuh usaha memperluas akses pensijilan halal kepada lebih ramai usahawan di peringkat akar umbi, sekali gus memperkasa industri halal sebagai pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat dan memperkukuh ekosistem halal Pulau Pinang secara menyeluruh, inklusif dan berdaya saing.

Pada 15 September 2026, Penang Halal International (PHI) telah melaksanakan lawatan bimbingan pensijilan halal kotej ke Nina Shop yang beroperasi di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam dan merupakan syarikat yang menghasilkan produk makanan seperti bawang putih goreng, bawang goreng dan halia goreng.

Sepanjang sesi bimbingan, pasukan PHI telah meneliti proses penghasilan produk serta memberikan panduan kepada usahawan berhubung aspek bahan mentah, pengendalian makanan, kebersihan, penyimpanan, dokumentasi dan keperluan pematuhan halal.

Bimbingan secara bersemuka ini diharapkan dapat membantu usahawan lebih memahami keperluan pensijilan serta membuat persediaan dengan lebih teratur sebelum mengemukakan permohonan.

Pada 9 September 2026, Penang Halal International telah melaksanakan taklimat terkini berkaitan program pensijilan halal kotej kepada syarikat yang telah mendapat sijil halal dan beroperasi di Dapur Central Kitchen Daerah Timur Laut.

Taklimat yang disampaikan oleh pegawai PHI juga turut melibatkan tentang perancangan usahawan pasca pensijilan halal untuk mengembangkan pasaran produk ke tahap seterusnya.

Pada 8 September 2026, Penang Halal International telah menerima kehadiran daripada Syarikat Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), sebuah syarikat anak milikan penuh di bawah Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan Program Pembangunan Ekonomi untuk golongan asnaf fakir dan miskin di negeri Selangor bersempena kunjungan lawatan kerja ke Pulau Pinang.

Turut hadir mengiringi lawatan ini adalah En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI bersama para pegawai manakala TERAS pula dihadiri En Mohd Hasnul Redza bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif dan pegawai-pegawai TERAS.

Antara objektif lawatan kerja ini dilaksanakan adalah untuk mengenal pasti produk-produk berpotensi di sekitar Pulau Pinang yang mempunyai nilai pasaran serta boleh membantu meningkatkan rantaian ekonomi tempatan.

Lawatan ini telah dimulakan dengan melawat Nasmir Frozen Sdn Bhd, anak syarikat di bawah Nasmir Holding Sdn Bhd yang memfokuskan kepada pemborong barang runcit dan pembekal ayam segar. Syarikat ini juga merupakan pembekal & pusat penyembelihan ayam segar yang telah mendapat pensijilan halal oleh JAKIM.