20 Ogos 2025 – para pegawai Penang Halal International berpeluang menimba pengalaman mendalami ilmu dan pengetahuan bersama Seksyen Audit, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM bertempat di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya.

Sepanjang sesi yang dikendalikan oleh pegawai Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, para pegawai telah didedahkan berkenaan proses-proses pengauditan yang dijalankan oleh JAKIM.

Pada masa yang sama, Unit Persampelan di bawah Seksyen Audit turut menjalankan demonstrasi pengambilan sampel dari premis dan syarikat yang memohon sijil halal bagi tujuan analisis pihak JAKIM di Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC).

19 Ogos 2025  – Para pegawai Penang Halal International berpeluang menimba pengalaman mendalami ilmu dan pengetahuan bersama Seksyen Sijil Bahagian Pengurusan Halal JAKIM bertempat di Ibu Pejabat JAKIM, Putrajaya.

Sepanjang sesi yang dikendalikan oleh pegawai Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, para pegawai telah didedahkan berkenaan proses-proses berkaitan persediaan sebelum memasuki mesyuarat panel pensijilan halal JAKIM serta pasca pensijilan.

Para pegawai juga turut berpeluang untuk melawat Bahagian Percetakan Sijil Halal JAKIM serta diberi penerangan berkenaan ciri-ciri istimewa yang terdapat pada sijil halal Malaysia yang dikeluarkan JAKIM.

14 Ogos 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah melaksanakan lawatan sambil belajar pelatih industri ke Kilang MyKuali Manufacturing Sdn Bhd yang terletak di Penang Science Park.

Sepanjang lawatan ini berlangsung, para pelatih ini juga telah didedahkan dengan perjalanan syarikat dalam memperoleh Sijil Halal serta mempelajari proses penghasilan produk-produk untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pada masa yang sama juga, Penang Halal International juga telah berpeluang untuk melawat kilang baharu syarikat yang baru sahaja berpindah ke Penang Science Park dan merasai produk-produk baharu yang dihasilkan serta membawa imej Pulau Pinang.

13 Ogos 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia(SPHM) telah melaksanakan lawatan ke kilang pemprosesan di bawah syarikat Jeruk Madu Pak Ali bagi memenuhi keperluan pelajar latihan industri di bawah seliaan PHI khususnya dalam mendalami industri halal.

Sepanjang lawatan ini berlangsung, kesemua pelatih telah didedahkan dengan proses penghasilan produk sehingga mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Para pelatih juga telah mempelajari bagaimana perjalanan syarikat sehingga berjaya hingga ke hari ini.

12 Ogos 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi Sijil Pengesahan Halal Malaysia telah menyertai sesi perbincangan meja bulat Pelan Induk Industri Halal Pulau Pinang bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya.

Perbincangan ini juga turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang dan tetamu-tetamu jemputan iaitu:
1. YBhg. Datuk Wira Ir. Dr. Shaik Hussein Mydin (Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang)
2. ⁠YBhg. Dato Aziz bin Bakar (Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang)
3. ⁠YBhg. Dato’ Haji Mohd Asri Baharum (Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang)
4. ⁠YBhg. Dato’ Haji Marzuki bin Hassan (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
5. ⁠YBhg. Dr. Haji Syaharudin Shah Mohd Noor (Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang)
6. ⁠YBhg. En Fauzan Ismail (Ketua Wilayah NCIA Perak dan Pulau Pinang)
7. ⁠YBrs. En Mohd Azraie bin Ramli (Ketua Pegawai Eksekutif PHI)

Perbincangan ini juga turut disertai pegawai serta kakitangan Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP dan Penang Halal International bagi mendapatkan buah fikiran dan idea untuk memantapkan pelan yang dirangka.

12 Ogos 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri bagi mempromosi pensijilan halal Malaysia telah dijemput untuk menyertai program Jom Xcess 2025 Northern Region anjuran SME Bank-Bank Perusahaan Kecil & Sederhana bertempat di The Light Hotel, Seberang Jaya.

En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif PHI juga telah menyertai sesi “Dialogue Session on Exploring Business Opportunities” selaku panelis bagi menerangkan usaha-usaha yang telah dijalankan oleh PHI sejak 2008 bagi memperkasa industri halal di Pulau Pinang sehingga kini.

PHI juga telah membuka kaunter pameran bagi menerangkan inisiatif-inisiatif terkini yang ditawarkan khususnya khidmat perunding pensijilan halal Malaysia.

31 Julai 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mempromosikan pensijilan halal Malaysia telah menyertai Seminar Maqasid Syariah peringkat negeri Pulau Pinang.

Dianjurkan oleh Pusat Kajian Pemikiran Ketamadunan Al Hady, program ini turut disertai pelajar-pelajar latihan Industri dari PHI bagi memberi pendedahan kepada golongan belia tentang pemahaman Maqasid Syariah dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

31 Julai 2025 – Penang Halal International dengan kerjasama Fiesta Laksa Malaysia telah mengadakan Majlis Perasmian Penang Halal & Heritage Carnival (Edisi Laksa) bertempat di Padang Awam, Taman Iping, Batu Maung, Pulau Pinang bermula 31 Julai hingga 3 Ogos 2025.

Dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap ADUN Batu Maung & Pengerusi Penang Halal International dan turut dihadiri masyarakat setempat sekitar DUN Batu Maung. Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti jualan pelbagai aneka juadah laksa dari seluruh Malaysia, persembahan boria dan aktiviti-aktiviti lain.

29 Julai 2025 – Penang Halal International selaku agensi yang bertanggungjawab mempromosikan halal telah melaksanakan jelajah taklimat bimbingan kecemerlangan halal Pulau Pinang bertempat di Dewan MPKK Taman Wira, Pantai Robina, Teluk Air Tawar.

Dihadiri seramai 50 orang peserta terdiri dari peniaga dan usahawan, para peserta telah didedahkan tentang kefahaman dan kepentingan pensijilan halal khususnya tentang proses serta langkah permohonan pensijilan halal Malaysia. Pengisian program juga telah diisi oleh penceramah-penceramah yang terdiri daripada Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP dan Zakat MAINPP

Program ini juga telah dirasmikan oleh YBrs. En Mohd Azraie bin Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International.

28 Julai 2025 – Penang Halal International selaku agensi kerajaan negeri Pulau Pinang bagi mempromosikan pensijilan halal Malaysia telah menerima kunjungan hormat dari Melaka Halal Hub bertempat di pejabat PHI, KOMTAR.

Sepanjang pertemuan ini berlangsung, antara perkara yang dibincangkan berkenaan cadangan kolaborasi antara dua negeri bagi memperkasa industri halal melalui peningkatan jumlah pemegang sijil pengesahan halal Malaysia.